Jumaat, 9 November 2012

Berkongsi Rasa

Petikan ini dipetik dari blog Genta Rasa yang ditulis oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi..entri yang amat berkesan dan terkesan kepada ku..aku hanya ingin berkongsi rasa..
 
Hati yang mengingati Allah akan mendapat ketenangan. Ini dapat dilihat dalam firman Allah yang lain, mafhumnya: “Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Surah al-Ra’d 13: 28)
 
Ketenangan itulah kekuatan dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup. Kita menghadapi ujian bukan dengan kekuatan otot dan fizikal, tetapi dengan kekuatan hati. Hati yang tenang tidak akan mudah kecewa, bosan, putus asa dan marah apabila berdepan dengan kegagalan, kesakitan, kekurangan dan kekalahan dalam hidup.
 
Ya, mengadulah kepada Allah dalam solat. Allah tidak pernah jemu. Perdengarkan masalah kita berulang-ulang, hatta masalah yang sama, Allah sentiasa sudi mendengarnya. Tuhan tidak pernah kecewa dengan kerenah manusia kerana
Tuhan mencipta manusia dan Dia menjaga ciptaan-Nya itu dengan penuh kasih sayang.
 
Allah sentiasa dekat dengan kita selagi kita tidak menjauhi-Nya. Jika kita bertanya tentang-Nya, Allah menjawab: “Jika manusia bertanya tentang-Ku, katakan Aku dekat, dan Aku memenuhi permintaan orang yang meminta.”
 
Jika kita berasa kecewa dan hampir putus asa, Allah memujuk: “Tidak ada yang putus asa melainkan orang kafir.”
Apabila kita berasa dihina dan dipinggirkan, Allah mengingatkan: “Jangan berasa hina dan takut, kamu adalah orang yang tinggi martabatnya jika kamu beriman.”
 
Dan apabila kita terasa keseorangan, kesepian dan mula gementar menghadapi segala ujian dan gelombang kehidupan, Allah memberi harapan dengan firman-Nya yang bermaksud: “Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.”
 
Seorang ulama bernama al-Hakim berkata: “Jika kamu ingin mendengar kata-kata Allah kepadamu, bacalah al-Quran. Sebaliknya, jika kamu ingin berkata-kata dengan Allah, dirikanlah solat.”
 
Hati manusia umpama bateri telefon bimbit yang mesti dicas selalu untuk berfungsi. Jika bateri telefon perlu dicas dua atau tiga hari sekali, maka hati manusia perlu dicas dengan solat sebanyak lima kali sehari.
Hati manusia yang tidak solat umpama bateri yang kosong. Maka manusia yang tidak solat, umpama telefon yang sudah kehabisan bateri. Apabila hati “mati”, tidak berguna wajah yang tampan dan badan yang sasa pada seseorang manusia, seperti tidak ada gunanya telefon bimbit yang canggih dan cantik tanpa bateri!
 
Ya, selagi kita bersama Allah, selagi kita menunaikan solat, kita akan kuat menghadapi apa-apa jua cabaran

Tiada ulasan:

Catat Ulasan